5/24/07

Maimunah binti Haris

Maimunah binti Haris
Pembela Nasib Wanita Islam

Pada wajah yang berkedut itu
Tersimpan cinta suci
Menanti hadir nur Ilahi
Menyinar dalam baki umur yang ada
Cinta pada baginda telah tersimpan lama
Akhirnya cita menjadi nyata
Tatkala diri dilamar pahlawan agama..
Sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila Allah S.W.T. mengkehendaki seseorang hambaNya meninggal pada suatu tempat, maka ditakdirkanNya orang itu mempunyai keperluan di tempat itu, lalu wafatlah dia di situ.”


Maimunah merupakan Ummul Mukminin yang terakhir dinikahi oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Beliau sangat berbesar hati apabila Rasulullah s.a.w. sudi mengambil diri beliau sebagai isteri sekaligus mendapat gelaran Ummul Mukminin.

Seperti isteri-isteri yang lain, Maimunah bukanlah nama sebenar beliau. Beliau dilahirkan dalam keluarga suku Quraisy Mekah. Hasil perkahwinan Haris bin Hazan dengan Mind binti Auf, maka lahirlah waris yang dinamakan Barrah. Barrah ialah nama Maimunah yang sebenar sebelum dimuliakan menjadi Ummul Mukminin. Beliau juga merupakan saudara perempuan kepada isteri Abbas bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w..

Sebelum Maimunah menjadi Ummul Mukminin, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan beliau bersama Mas’ud bin Amr tidak sehaluan dan akhirnya mereka berpisah. Setelah itu, Maimunah memulakan hidup baru dengan berkahwin untuk kali kedua bersama Abu Rahman bin Abdul Uzza. Suaminya itu meninggal dunia pada tahun 7 Hijrah di mana ketika itu beliau sudah menjadi wanita tua yang berumur 51 tahun.

Abbas dan isterinya sangat kasihan dengan keadaan Maimunah yang tidak mempunyai tempat bergantung hidup. Jadi, bagi meringankan beban Maimunah, mereka telah mengemukakan cadangan kepada Rasulullah s.a.w. supaya Maimunah dijadikan isteri baginda. Bahkan Maimunah pernah menyatakan hasrat hati beliau untuk menjadi isteri baginda sebelum ini kepada saudara beliau itu. Cadangan ikhlas kedua suami isteri itu diterima baik oleh Rasulullah s.a.w.. Dengan rela hati, baginda menghantar peminangan melalui Jaafar bin Abu Talib untuk menyunting Maimunah sebagai isteri baginda.

Akhirnya perkahwinan Maimunah dan Rasulullah s.a.w. dilansungkan pada bulan Syawal dalam tahun 7 Hijrah dengan mahar 500 Dirham. Di awal perancangan kaum Muslimin, perkahwinan itu mahu dilaksanakan di Mekah, tetapi terpaksa diadakan di luar Mekah kerana kaum Kafir Quraisy tidak mahu baginda berada di Mekah terlalu lama. Sebenarnya baginda telah tinggal di Mekah selama tiga hari untuk tujuan haji setelah tujuh tahun baginda dan kaum Muslimin tidak pulang ke tanah air. Oleh itu, perkahwinan yang penuh barakah itu diadakan di Saraf, suatu tempat di antara Mekah dan Madinah.

Ketika kaum Muslimin hendak meninggalkan Mekah, Maimunah menyeru dengan lantang dan amat berpengaruh serta berkesan ke dalam hati sebahagian orang Quraisy. Antara yang menerima seruan beliau ialah anak saudara beliau iaitu Khalid bin Al-Walid. Khalid merupakan pahlawan yang terkenal dengan kegagahan dan keberanian. Beliau turut hadir ke majlis perkahwinan Maimunah dan Rasulullah s.a.w.. Setelah selesai majlis perkahwinan itu, Khalid telah mengisytiharkan dirinya memeluk Islam dan menghimpunkan pengikutnya lalu berkata:
“ Sesungguhnya telah nyata bagi setiap orang yang berakal, bahawa Muhammad itu bukanlah tukang sihir atau penyair! Kata-katanya Kalam Tuhan semesta alam. Maka, benarlah semua yang memiliki hati untuk mengikuti baginda.”

Ikatan perkahwinan yang suci antara Maimunah dan baginda Nabi s.a.w. turut memberikan faedah yang banyak dalam perkembangan pengaruh Islam ketika itu. Dengan perkahwinan tersebut, ramai dari kalangan orang yang masih kafir beramai-ramai memeluk agama Islam dan menjadi pengikut Nabi Muhammad s.a.w..

Setelah tiba di Madinah, Maimunah menetap di rumah yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk beliau. Beliau seorang isteri yang baik, ikhlas, patuh dan setia terhadap Rasulullah s.a.w.. Maimunah juga menyukai apa yang disukai oleh Nabi s.a.w.. Maimunah akan merasa bahagia apabila mendengar segala tutur kata Rasulullah s.a.w.. Segala kebaikan dan sifat terpuji Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang telah membaja cinta Maimunah yang kian subur kepada suami beliau itu.

Apabila keadaan di Madinah kembali berjalan seperti biasa, Rasulullah s.a.w. menghubungi kaum kerabat Maimunah dari kabilah Hilal yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan baginda. Perhubungan yang baik antara kedua-dua pihak telah mendatangkan hasil yang baik. Ramai dari kalangan kafir Quraisy telah memeluk agama Islam dan membantu Rasulullah s.a.w. dalam segala hal.

Pada saat itu, Rasulullah s.a.w. telah mendapat khabar berita Zainab, puteri sulung baginda telah meninggal dunia. Baginda amat sedih dengan berita itu. Dalam keadaan baginda yang sedih itu, Maimunah telah bertindak dan berusaha untuk menghiburkan hati baginda dan berusaha meringankan kepedihan hati yang sedang dialami baginda dengan penuh kebijaksanaan dan penuh kasih sayang yang tulus ikhlas.

Maimunah seorang isteri yang baik. Walaupun beliau adalah isteri baginda, namun beliau tidak pernah meminta sesuatu daripada baginda, sekalipun perkara itu adalah hak beliau. Lebih kurang dua tahun selepas perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w., Nabi Muhammad s.a.w. ditimpa sakit. Pada ketika itu, baginda berada di rumah Maimunah. Tetapi sakit baginda bertambah teruk dan memerlukan rehat yang sempurna. Baginda meminta kepada Maimunah agar beliau dibenarkan pergi ke rumah Aisyah. Permintaan terakhir suami yang tercinta dipersetujui oleh Maimunah. Di rumah Aisyah, baginda dirawat oleh semua isteri Nabi s.a.w.. Tiada sekelumit pun rasa cemburu dan iri hati beliau terhadap isteri-isteri baginda yang lain. Semua tumpuan dan perhatian diberikan kepada baginda yang sedang sakit dan akhirnya kesakitan itu telah meragut nyawa baginda Nabi s.a.w..

Setelah baginda meninggalkan semua, Maimunah tetap setia melaksanakan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Ummul Mukminin kepada masyarakat Islam di samping tetap melakukan ibadah kepada Allah S.W.T.. Ketaatan beliau ini dipuji oleh Aisyah r.a.:
“ Beliaulah orang yang paling bertaqwa di antara kami (para isteri Rasulullah) dan yang paling banyak melakukan silaturrahim.”

Walaupun kini Rasulullah s.a.w. sudah tiada lagi, namun Maimunah tetap memelihara hubungan silaturrahim dengan para madu beliau. Beliau menunjukkan kesetiaan yang penuh kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan membina hubungan kekeluargaan yang baik dengan isteri-isteri baginda yang lain. Maimunah tidak dapat melupakan kenangan indah yang sentiasa segar dalam memori tatkala pertemuan pertama beliau dengan Rasulullah s.a.w. di suatu tempat antara Mekah dan Madinah. Bagi mengabadikan kenangan indah beliau selamanya, beliau pernah mewasiatkan kepada kaum Muslimin sekiranya beliau wafat, beliau mahu dikebumikan di tempat itu.

Maimunah merupakan Ummul Mukminin yang sangat banyak menabur jasa kepada masyarakat Islam. Beliau lebih menumpukan perhatian terhadap masalah kaum wanita, terutama sekali kepada para remaja Islam. Bahkan beliau telah membentuk suatu pertubuhan wanita bagi memberi pertolongan kepada pejuang Islam yang tercedera dalam peperangan.

Pernah suatu ketika, semasa perang Tabuk yang terjadi pada bulan Rejab 9 Hijrah, Maimunah turut menyertai Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin berperang. Bahkan Maimunah berada di barisan hadapan sekali. Ketika beliau sedang merawat tentera Islam yang cedera, beliau hampir terkena anak panah musuh. Kemahiran dan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh beliau terus dikembangkan walaupun Rasulullah s.a.w. sudah tiada di sisi beliau. Perkara yang paling membanggakan ialah Maimunah merupakan wanita pertama yang menubuhkan persatuan wanita.

Isteri Rasulullah s.a.w., Aisyah r.a. pernah mengatakan:
“ Maimunah sangat takut kepada Allah S.W.T. dan mengambil berat terhadap hak-hak kaum kerabatnya.”

Beliau sangat gemar memerdekakan para hamba. Beliau pernah memerdekakan seorang hamba wanita. Lantas Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan bahawa Allah S.W.T. akan merahmati beliau. Beliau merupakan seorang wanita yang bertaqwa dan merendah diri. Nabi Muhammad s.a.w. memanggilnya sebagai contoh kebaikan. Beliau sangat suka mendorong wanita kepada kebaikan dan menjadi wanita yang solehah.

Bukan setakat itu sahaja, Maimunah turut dikenali sebagai perawi hadis dalam lapangan ilmu pengetahuan. Terdapat 46 buah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada beliau. Beliau sungguh berminat dan menunjukkan kebolehan beliau memahami selok-belok masalah agama.

Pernah suatu ketika, Ibnu Abbas pernah bertanya kepada beliau sama ada seorang wanita yang sedang haid boleh menyentuh suami mereka. Lalu Maimunah menjelaskan kepadanya bahawa wanita haid tidak dilarang berbuat demikian. Di antara ulama yang telah meriwayatkan hadis daripada Maimunah ialah Ibnu Abbas, Abdullah bin Shaddad, Abdul Rahman bin Saib dan ramai lagi.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah, tahun 51 Hijrah, Maimunah Ummul Mukminin berangkat dari Madinah Munawwarah ke kampung Saraf untuk suatu keperluan. Setiba beliau di sana, beliau mendapat sakit yang teruk dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di situ. Beliau kembali kepada Allah S.W.T. ketika berusia 80 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di kampung itu sesuai dengan wasiat beliau sebelum ini. Maimunah sangat beruntung kerana beliau wafat dan dikebumikan di tempat beliau bersatu dengan Rasulullah s.a.w..

Tahukah anda?
• Maimunah yang bermaksud yang dirahmati telah dinamakan sedemikian kerana telah dikahwinkan dengan Nabi s.a.w. pada masa yang bertuah tatkala Nabi dan para pengikut baginda dapat masuk ke Mekah selepas hijrah beberapa tahun di Madinah.

• Maimunah mempunyai tiga orang saudara kandung iaitu Lubabah al-Kubra, lebih dikenali dengan Ummu Fadhl, Asma dan Salma. Ummu Fadhl merupakan isteri kepada Abbas bin Mutalib iaitu bapa saudara Rasulullah s.a.w..

• Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Maimunah telah menghasilkan hubungan baik antara suku-suku Arab dengan umat Islam. Khalid al-Walid telah memeluk Islam tatkala terharu dengan keikhlasan Nabi s.a.w. memperisterikan ibu saudaranya yang sudah tua.
Perbendaharaan kata:
1. Berbesar hati: berbangga
2. Kaum kerabat: ahli keluarga
3. Madu: wanita yang menjadi isteri kepada suami sendiri
4. Mengabadikan: mengekalkan
5. Mewasiatkan: meninggalkan pesanan terkahir sebelum meninggal dunia kepada orang lain.



Rujukan:

1. Afzalur Rahman. Ensiklopedia Sirah. Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Akmal Mohd. Zin, Mohd. Safwan Amrullah. Ummahatul Mukminin Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Penerbit: al-Hidayah
3. S.M. Madni Abbasi, terj. Siti Sujinah Sarnap. Keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Penerbit: Jahabersa
4. Kamus Dewan Edisi Ketiga

No comments: