5/24/07

PERBANDINGAN DI ANTARA TAFSIR FI ZILALIL QUR’AN, AL-SYA’RAWI DAN AL-TABARI.

PERBANDINGAN DI ANTARA TAFSIR FI ZILALIL QUR’AN, AL-SYA’RAWI DAN AL-TABARI.

Di dalam kitab Tafsir Fi ZilalilQuran penghuraian yang dilakukan oleh Syed Qutb hanyalah secara ringkas sahaja. Berikut adalah penghuraian beliau terhadap ayat 34 surah al-Baqarah:

“…Kecuali Iblis, ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir..”

Di sinilah nampak jahat iaitu pembangkangan kepada Allah yang Maha Mulia lagi Maha Suci, keangkuhan untuk mengetahui kelebihan orang yang memang memiliki kelebihan, kebanggaan terhadap dosa.

Konteks ayat ini mengisyaratkan bahawa Iblis bukan dari jenis malaikat tetapi hadir bersama mereka. Seandainya Iblis dari jenis malaikat nescaya ia tidak akan membangkang kerana sifat utama mereka adalah: ‘mereka tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” At-Tahrim: 6.. Pengecualian di dalam ayat ini tidak menunjukkan bahawa ia dari jenis mereka. Nas al-Quran menegaskan bahawa iblis dari golongan jin sedangkan Allah menciptakan jin dari nyala api. Ini memastikan bahawa ia bukan dari jenis malaikat.

Pertempuran antara perangai jahat dalam diri Iblis dan khalifah Allah di muka. Pertempuran abadi di dalam hati nurani manusia. Dalam pertempuran ini kebenaran akan memperoleh kebenaran sesuai dengan keteguhan manusia kepada kehendak dan janjinya bersama Tuhannya. Demikian pula kejahatan pula akan memenangkan pertempuran sesuai dengan kadar ketundukan manusia kepada syahwatnya dan kejauhannya dari Tuhan.



Begitu juga dengan tafsiran oleh Sya’rawi yang hampir sama isi kandungannya. Cuma yang membezakan hanya metodologi tafsir ini adalah merupakan Tafsir Bi Ma’thur iaitu mendatangkan dalil-dalil al-Quran dan al-hadith bagi menghuraikan tafsiran ayat ini.

Allah telah memerintahkan kepada para malaikat supaya sujud kepada Adam. Perkara ini melibatkan perbincangan yang panjang. Sesetengah manusia berkata: Bagaimana malaikat bersujud kepada selain Allah? Dan sujud hanyalah kepada Allah yang satu. Berkata selainnya pula: Adakah maksud sujud para malaikat itu kepada Adam kerana mereka itu adalah hambanya? Maka segolongan yang lain pula: Sujud selain Allah adalah tidak boleh. Maka jawapan kepada semua pandangan mereka itu adalah seperti berikut: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui makna semua itu. Maka Allah swt selepas membezakan antara Adam daripada malaikat dengan ilmu yang ada pada Adam…kerana itulah Allah swt telah meminta para malaikat untuk sujud kepada Adam..secara lansung kita mengetahui bahawa sujud kepada Adam ini adalah ketaatan terhadap perintah Allah.. maka Allah yang memerintahkan kepada para malaikat, bukannya Adam kerana Adam tidak mempunyai hak untuk menyuruh mereka..perintah tersebut adalah dari Allah iaitu barangsiapa yang taat adalah seorang hamba, siapa yang tidak taat adalah berdosa manakala siapa yang menolak perintah itu adalah kafir.

Bagi menjelaskan kepada mereka makna ibadah kita mengatakan bahawa: sesungguhnya ibadah itu adalah ketaatan kepada perintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang Allah. Jika Allah berfirman kepada kita: “Buatlah!”, maka kita wajib buat. Dan berfirman: “Jangan buat”, maka kita tidak akan buat. Di sini malaikat sujud kepada Adam hanyalah kerana perintah Allah swt. Terdapat perbezaan yang besar di antara sujud untuk perkara yang lain dan sujud yang diperintahkan oleh Allah. Perintah sujud itu tidak bersalahan dengan manhaj Allah kerana ia tetap berteraskan kepada asas iaitu taat kepada Allah. Tetapi persoalan di sini adakah semua para malaikat itu sujud kepada Adam.? Jawapannya tidak kerana yang sujud kepada Adam adalah yang berkaitan dengannya. Hal ini diterangkan oleh Allah dalam surah al-Infitar ayat 10-12:

“Padahal sesungguhnya bagi kamu ada malaikat-malaikat yang mengawasi pekerjaanmu. Yang mulia di sisi Allah dan yang akan mencatat pekerjaan-pekerjaanmu itu. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Dalam surah Qaaf ayat 18:
“Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.”

Dalam surah an-Naazi’at ayat 5:
“Dan malaikat-malaikat yang mengatur urusan dunia..”

Ini menunjukkan bahawa para malaikat adalah bertugas untuk menjaga manusia dalam urusan amalan mereka. Dan malaikatlah yang memelihara manusia daripada syaitan dan yang melaksanakan apa yang telah Allah takdir di dunia. Jadi malaikat yang bertugas di Arasy dan yang menjaga langit, yang tidak berkaitan dengan urusadn manusia. Namun kerana itulah iblis tidak mahu sujud. Maka Allah berkata kepada iblis sepertimana yang terdapat dalam surah Saad:
“Allah berfirman: Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku ciptakan dengan kedua tangan Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?”

Allah berkata kamu adalah dari kalangan golongan yang tinggi iaitu dari golongan para malaikat.. Hal berkaitan dengan sujud ini samalah dengan perintah Allah untuk sujud ke arah Kiblat ketika solat. Kita tidak sujud kerana Kiblat secara zatnya namun kita sujud kerana perintah Allah.

Ada yang berpendapat yang mengatakan perintah itu untuk para malaikat, bukan iblis kerana iblis bukan malaikat dan mereka itu dari golongan jin. Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 50:
“…melainkan iblis . Dia adalah golongan jin, maka ia mendurhakai perintahNya..”
Manakala dalam surah al-A’raaf ayat 12:
“Allah berfirman: Apakah yang mengahalangimu untuk bersujud kepada Adam di waktu Aku menyuruhmu? Menjawab Iblis: Saya lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.”

Ini menunjukkan Iblis akan sentiasa kekal di dalam neraka kerana menolak perintah-perintah. Iblis berkata sepertimana dalam surah al-Isra’ ayat 61:
“Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?”

Apa yang dilakukan oleh iblis itu adalah maksiat kepada Allah yang paling kemuncak. Mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah. Ini kerana sujud kepada Adam itu adalah cuma salah satu perintah Allah kepada mereka dan antara perintah yang awal yang diberikan kepada mereka.

Namun di dalam Tafsir Tabari terdapat perbincangan berkaitan isu ini secara terperinci.
Terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli takwil berkaitan isu adakah malaikat ataupun selain malaikat? Iblis dikatakan mengalami proses kehidupan yang sama dengan para malaikat dan mereka dipanggil Jin. Mereka dijadikan daripada angin panas iaitu salah satu tempat simpan khazanah yang terdapat dalam syurga.
Menurut riwayat lain, Iblis sebelum melanggar perintah Allah namanya Azazil yang tinggal di bumi merupakan malaikat yang bersungguh-sungguh dan mempunyai ilmu. Kemudian menjadi bongkak. Kemudian dikatakan bahawa kehidupan begitu adalah kehidupan jin.

Riwayat dari Ibnu Abbas katanya: terdapat salah seorang malaikat yang bernama Azazil yang tinggal di bumi yang tergolong dalam kelompoknya. Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-Kahfi yang bermaksud: Maka mereka pun sujudlah melainkan Iblis kerana dia adalah dari kalangan Jin.

Selain itu, Ibnu Abbas berkata: sesungguhnya Iblis adalah dari kalangan malaikat yang mulia dan kabilah yang dimuliakan.

Riwayat Al-Hassan: Iblis bukan dari kalangan malaikat menurut pandangan kasar semata-mata kerana mereka berasal dari Jin. Sepertimana asalnya Adam daripada manusia.

Daripada Ibnu Wahab berkata Ibnu Zaid: Iblis adalah Bapa Jin sepertimana Adam adalah bapa sekalian manusia.

Allah telah memberitahu bahawa dalam kitabNya , sesungguhnya Dia telah menjadikan iblis daripada api, angin yang panas dan menjadikan iblis dan menerangkan kejadian malaikat. Lalu dengan jelas memberitahu bahawa iblis itu adalah jin.

Ada pandangan mengatakan bahawa: Iblis itu mempunyai zuriat dan keturunan, manakala malaikat tidak mempunyai keturunan.

Perkataan ‘Iblis’ menurut pandangan Abu Jaafar adalah orang yang putus harapan dari kebaikan, merasa menyesal dan sentiasa berdukacita.

Setelah menyifatkan Iblis itu bersikap putus asa dengan kebaikan dan bersedih kerana menyesal, mereka disifatkan pula sebagai golongan yang bermegah diri, bersikap sombong dan tidak mengikut perintah yang telah Allah tetapkan dengan penuh rasa rendah diri. Mereka ini ingkar sepertimana ingkarnya kaum Yahudi kerana degil untuk mengikut perintah Allah. Lalu Iblis adalah dari golongan yang kafir kerana kekufuran mereka kepada Allah dan tidak mengikut perintah Allah

Sesungguhnya sujud para malaikat adalah suatu penghormatan kepada Adam dan suatu ketaatan kepada perintah Allah, bukannya pengibadatan kepada Adam. Seperti mana dalam satu riwayat yang menerangkan berkaitan isu ini adalah daripada Qatadah:
“ Allah berfirman: ‘Apabila Kami menyuruh para malaikat untuk sujud kepada Alam’ maka perintah itu adalah ketaatan kepada Allah. Manakala sujud kepada Adam itu adalah kerana meunjukkan bahawa Allah telah memuliakan Adam dengan sujudnya para malaikat kepadanya.”

PERBANDINGAN DI ANTARA TAFSIR AL-MUNIR , AL-SUYUTI DAN AL-MANNAR

Dalam tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaily menerangkan secara ringkas tentang pentafsiran ayat 34 dalam surah al-Baqarah ini. Walaubagaimanapun, beliau tetap menyertakan bersama dalil-dalil daripada ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w.

Daripada kisah dalam surah al-Baqarah ayat 31 ini menunjukkan bahawa manusia wajib beribadah kepada Allah yang Maha Esa sahaja, tidak kepada yang lain. Ini adalah kerana Allah s.w.t. memuliakan anak Adam berdasarkan firmanNya yang bermaksud : ((...sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..)) dan menjadikan Adam sebagai khalifah di muka bumi ini serta mengajarkan kepadanya apa yang perlu diketahuinya : ((..dan mengajarkan kepada Adam nama-nama setiap sesuatu..)) at-Tabari mengatakan bahawa sesungguhnya Allah Taala mengkehendaki supaya anak Adam mengambil contoh dan tauladan daripada kisah Iblis ini.

Para malaikat dan syaitan sentiasa ingin mengganggu manusia (anak Adam) malah mereka juga ingin menggoncang keimanan anak Adam ini tanpa mengambil kira cara-cara yang digunakan sama ada melibatkan apa jua keadaan dan material.

Sujud di sini terbahagi kepada dua iaitu : sujud yang menunjukkan kepada ibadah dan ianya tidak lain tidak bukan hanyalah kerana Allah s.w.t. yang Maha Esa. Ianya dizahirkan dengan dua cara iaitu meletakkan kepala ke bumi sepertimana yang dilakukan di dalam solat kemudiannya yang kedua ialah tunduk dan patuh bagi menunaikan kehendaknya, firman Allah s.w.t. : ((..bintang dan pokok kedua-duanya sujud kepada Allah s.w.t.))

Manakala jenis yang kedua pula ialah sujud untuk memuliakan dan sebagai tanda penghormatan seperti sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s. dan sujud Nabi Ya’qub serta anak-anaknya kepada Nabi Yusuf a.s. Ini adalah menurut pandangan kebanyakan ulama’ yang merujuk kepada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Kesimpulannya, sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s. bukanlah sujud untuk beribadah tetapi adalah untuk membesarkan dan memuliakan Adam sebagaimana dikurniakan kepada Adam kelebihan mengetahui nama bagi setiap benda yang terdapat di langit dan di bumi. Sama ada untuk menunjukkan kemuliaan ataupun sebagai tanda qiblat seperti Kaabah dan Baitul Maqdis iaitu merupakan pandangan yang paling kukuh dan kuat bagi membahaskan makna sujud para malaikat kepada Nabi Adam.


Tafsir al-Suyuti menjelaskan maksud ayat tersebut berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w. dengan terperinci.

Daripada Ibn Abi Hatim dari Ibn ‘Abbas berkata dalam firman Allah s.w.t. : “..sujudlah kepada Adam..” Katanya : Sesungguhnya sujud itu adalah kepada Adam dan sebagai tanda ketaatan kepada Allah s.w.t.

Daripada ibn Abi Hatim dari Ibn ‘Abbas berkata berdasarkan ayat tersebut : “Allah telah memerintahkan kepada mereka (iaitu semua jenis jin dan malaikat) supaya sujud maka mereka semua sujud kepada Nabi Adam a.s. sebagai tanda kemuliaan daripada Allah untuk memuliakan Adam a.s.”

Daripada Ibn ‘Asakir dari Abi Ibrahim al-Mazni, beliau ditanya tentang sujud malaikat kepada Nabi Adam a.s., maka dia berkata : “Sesungguhnya Allah telah menjadikan Adam seperti kaabah.”

Daripada Ibn Abi Hatim dan Abu As-Syeikh dari Dhamrah telah berkata : “Aku mendengar seseorang mengatakan bahawa ; antara yang paling awal sujud kepada Allah ketika semua malaikat diperintahkan sujud kepada Adam ialah Israfil, maka ia kembali kepada Allah s.w.t.”

Daripada ‘Abd bin Hamid dan Ibn Jarir, Ibn Mundzir dan Ibn Abi Hatim serta Ibn al-Anbari dalam kitab ‘al-Adhdad’ dan al-Baihaqi dalam kitab ‘as-Sya’bi’ dari Ibn ‘Abbas berkata : “Iblis itu bernama ‘Azazil, ia adalah dari kalangan malaikat yang paling mulia tetapi kemudiannya dihina oleh Allah kerana sifatnya.”

Daripada Ibn Ishak dalam “al-Mubtada”, Ibn Jarir dan Ibn al-Anbari dari Ibn ‘Abbas berkata : “Iblis itu sebelum membawa maksiat adalah dari kalangan malaikat dan dinamakan sebagai ‘Azazil, ia juga dari kalangan penduduk bumi dan di antara kalangan malaikat yang hebat kesungguhannya serta kebanyakan daripada mereka berilmu pengetahuan. Inilah yang menyebabkan mereka lupa seterusnya takabbur dengan kurniaan Allah s.w.t. dan ia juga hidup di kalangan Jin.”

Daripada Ibn al-Mundzir dari Ibn ‘Abbas berkata : “Iblis itu dari kalangan malaikat yang paling mulia dan paling besar qabilahnya, ia juga dikenali sebagai bendahari syurga dan sultan langit dunia serta sultan di bumi. Maka kelihatanlah kebesaran sultan ke atas ahli langit, maka timbul dalam hati mereka sifat takabbur yang tidak diketahui oleh sesiapapun melainkan Allah s.w.t. dan apabila Allah memerintahkan malaikat untuk sujud kepada Adam untuk menghilangkan keegoan dan sifat takabbur mereka itu.”

Daripada Ibn Abi Hatim dari Muhammad bin ‘Amir al-Makkiyy berkata : “Allah telah menjadikan malaikat itu daripada cahaya, jin daripada api, binatang daripada air, Adam daripada tanah, maka Allah mengurniakan ketaatan itu kepada malaikat dan meletakkan maksiat itu sebagai salah satu sifat jin dan manusia.”

Daripada Ibn Abi Hatim dari Muhammad bin Kaab al-Qurazi berkata : “Allah mula-mula menjadikan Iblis dengan kekufuran dan kebatilan, pekerjaan mereka sama seperti yang dilakukan oleh malaikat, maka dengan itu mereka telah kufur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah s.w.t. ((Sesungguhnya mereka berada di kalangan orang-orang kafir))”

Daripada Ibn al-Mundzir dari Ibn ‘Abbas pula berkata : “Allah telah menjadikannya (iblis) kafir, maka mereka tidak lagi akan beriman kepada Allah s.w.t.”


Di dalam tafsir al-Mannar pula banyak menjelaskan ayat-ayat daripada surah al-Baqarah berdasarkan kepada pandangan beliau sendiri dengan ringkas dan jelas.

Firman Allah s.w.t. : ((..Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam”..)) sujud di sini membawa maksud bahawa sujud yang tidak diketahui sifatnya, tetapi Islam mengajar kita bahawa ia bukannya sujud sebagai tanda ibadah kerana kita perlu ingat bahawa kita tidak boleh menyembah melainkan kepada Allah Ta’ala dan sujud dari sudut bahasa ialah tunduk dan patuh iaitu meletakkan kepala ke bumi atau sujud di atas tanah. Sujud di sini terkandung banyak maksud termasuklah seperti sujud Ya’qub dan anak-anaknya kepada Nabi Yusuf a.s. Sujud kepada Allah s.w.t. pula terbahagi kepada dua iaitu sujud orang-orang yang berakal yang telah dipertanggungjawabkan untuk menunaikan ibadah kepada Allah dalam keadaan yang disyari’atkan serta sujud makhluk-makhluk ciptaan Allah dengan kehendak-Nya.

((..Maka mereka semuanya sujud kepada Adam kecuali Iblis..)) bermaksud kesemua malaikat yang berada di situ tunduk dan sujud kepada Nabi Adam a.s. melainkan satu golongan daripada malaikat atau jin yang bersifat fasiq dengan suruhan Tuhannya. Golongan yang dimaksudkan ini adalah Iblis Laknatullah.

Allah telah mensifatkan Iblis sebagai ((..ia enggan..)) iaitu enggan sujud dan patuh ((..dan takabbur..)) bermegah dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Firman Allah s.w.t. : ((..Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu Adam, lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat : “Bersujudlah kamu kepada Adam.”, maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. Allah berfirman : “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepada Adam ketika Aku menyuruhmu?” Jawab Iblis : “Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.”))

Firman Allah s.w.t. : ((..dan mereka itu di kalangan orang-orang kafir..)) Sebahagian ahli tafsir menyebut bahawa sesiapa yang takabbur adalah dari kalangan orang kafir dan mereka enggan kerana kekufuran mereka itu, mereka kufur kerana ketakburan mereka itu. Mereka bersikap takabbur kerana keengganan mereka itu sendiri.


PERBANDINGAN ANTARA TAFSIR AL-BAGHAWI , TAFSIR AL-QURTUBI DAN TAFSIR AL-RAZI

Ayat ini merupakan satu penghormatan yang besar yang diberikan oleh Allah kepada Adam, ketika memberitahu bahawa Allah telah menyuruh malaikat bersujud kepada Adam. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “Nabi Musa a.s meminta kepada Tuhan : Ya Tuhan, perlihatkan kepadaku Adam yang telah mengelarkan kami dari syurga. Kemudian setelah bertemu ia berkata : Engkau Adam yang telah dicipta Tuhan dengan tanganNya dan meniupkan ruhNya dan menyuruh malaikat bersujud padamu.”

Abu Ja’far telah membaca : للملائكة dengan berbaris depan ta’ tersebut, yang memberi makna sujud dengan kesungguhan dan sepenuh kesujudan. Ulama berselisih dalam mendefinisikan berkaitan malaikat : Sebahagian mereka mengatakan bahawa ia bersama-sama sekalian manusia, sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “..maka sujudlah para malaikat keseluruhannya..”

Sebagimana diketahui, bahawa ia merupakan nikmat yang keempat daripada nikmat-nikmat yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada manusia. Bahawasanya Dia telah menciptakan bapa kita iaitu Nabi Adam a.s, dan sebagai tempat sekalian malaikat bersujud. Allah menyebut dengan mengkhususkan nabi Adam a.s adalah kerana perlantikannya sebagai khalifah di muka bumi ini (nikmat pertama), kemudian dijadikan manusia itu dengan kelebihan ilmu yang banyak yang merupakan nikmat kedua bagi manusia, kemudian disampaikan ilmu-ilmu kepada mereka yang mana tidak diberikan kepada para malaikat. Iaitu para malaikat adalah lemah dari sisi ilmu berbanding manusia.

Imam al-Razi membincangkan berkaitan ayat ini dengan perbahasan yang lebih terperinci, sebagaimana berikut :
(1) Perintah sujud adalah merupakan hasil perintah sebelum Allah Ta’ala menciptakan Adam a.s berdasarkan dalil yang bermaksud : “Sesungguhnya Aku menjadikan manusia dari tanah. Maka, apabila Aku sempurnakan kejadiannya, maka Aku tiupkan ruhku (kepunyaanKu) kepadanya, maka meniaraplah mereka sujud kepanya.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa nabi alaihi al-salam sebelum dijadikan, telah termaktub sebagai tempat sujud para malaikat. Ini berdasarkan dalil فقعوا yang menyusul kemudiannya – merupakan ketentuan Allah yang mengajarkan nama-nama dan pemandangan berserta para malaikat setelah dijadikan manusia sebagai tempat sujud para malaikat.
(2) Kebanyakan umat Islam berpendapat bahawa sujud yang dimaksudkan bukanlah sujud tanda ibadah kerana sujud ibadah selain dari Allah adalah kufur. Ulama berselisih pendapat dalam hal ini : Sujud kerana Allah dan Adam itu sebagai kiblat dan ada di antara mereka yang mengkritik pendapat ini. Pertama tidak disebut sembahyang kerana kiblat, tetapi disebut adalah sembahyang menghadap kiblat. Maka jika nabi Adam a.s merupakan kiblat, maka sujud itu wajib dan dikatakan mereka itu sujud kepada Adam tidaklah menolak perintah seperti ini tetapi dikatakan mereka bersujud kerana nabi Adam a.s bukan sebagai kiblat mereka. Kedua, Iblis berkata apakah kamu melihat dalil ini yang menunjukkan kemuliaan sebagaimana diperintahkan oleh Allah supaya bersujud dengan sebenar-benar sujud?..
(3) Berbeza dengan membicarakan berkaitan keadaan Iblis, adakah ia tergolongan dalam kategori malaikat? Sebahagian Ulama’ Kalam mengatakan : Terutamanya Mu’tazilah, mereka tidak sependapat dengan sebahagian besar Ulama’ Fiqh yang berpegang dengan pendapat pertama : dengan mengatakan Iblis adalah di kalangan jin, bukan dari kalangan malaikat. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud : “..kecuali Iblis di kalangan jin…”

Kedua : Iblis mempunyai keturunan, manakala malaikat adalah sebaliknya. Firman Allah yang bermaksud : “Apakah kamu angkat dia dan anak cucunya menjadi wali, selain daripadaKu?”
Ketiga : Malaikat itu adalah ma’sum, sedangkan Iblis tidak, maka bukanlah ia di kalangan malaikat..
Keempat : Iblis merupakan makhluk dicipta dari api, manakala malaikat pula daripada cahaya. Jin juga adalah dari golongan api.
Kelima : Malaikat adalah utusan, firman Allah : جاعل الملائكة رسلا Utusan Allah ini perlulah di kalangan yang maksum.
(4) Allah memerintahkan supaya bersujud kepada Adam a.s, kerana Adam itu lebih baik daripada para malaikat. Golongan Ahli Sunnah wal Jama’ah mengatakan nabi-nabi itu adalah lebih afdhal berbanding malaikat. Mu’tazilah menyanggah pendapat ini dengan mengatakan para malaikat adalah yang lebih afdhal daripada manusia. Ini merupakan pendapat jumhur Syi’ah yang disokong oleh Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani.
(5) Sebagaimana kita ketahui, bahawa Iblis berkecuali dari bersujud kepada Adam a.s,, maka di sini boleh jadi ia dalam keuzuran dan menegah dari bersujud. Maka Allah menerangkan bahawa mereka (Iblis) tidak mahu bersujud di hadapan Adam a.s dengan kemampuan dan kekuatan yang ada pada mereka dan hilang keuzuran mereka dengan katanya enggan kerana tidak mahu melakukan sujud itu di atas pilihan mereka sendiri. Mereka (Iblis) begitu ingkar dengan arahan Allah dengan sombong dan takbur. Allah menjelaskan dalam al-Qur’an yang bermaksud : “…dan adalah mereka itu dari kalangan kaum yang kafir..”
(6) Bagi kaum yang berfikir, merujuk kepada ayat Allah yang bermaksud : “.. dan mereka itu dari kalangan kaum yang kafir..” terdapat dua pendapat iaitu : Pertama : Ketika mana Iblis begitu sibuk dengan ibadahnya, sedangakan mereka itu munafik dan kafir. Kedua : Iblis itu pada mulanya adalah mukmin, kemudian kufur selepas keengganan mereka. Dan terpat perbezaan dalam memberi tafsiran berkaitan ayat “dan mereka dari golongan yang kafir” mereka yang mengatakan ia bermaksud terdiri dari kaum yang kafir dalam pengetahuan Allah yang hanya Dialah yang mengetahuinya dari azali bahawa Iblis ini akan kufur suatu masa nanti. Pendapat lain mengatakan kufurnya Iblis pada waktu yang ditetapkan iaitu mereka sedang beriman sebelum dan selepasnya itu kufur dan benarlah kekufuran mereka dan wajib mempercayai bahawa ia termasuk dalam golongan yang kufur.
(7) Kebanyakan ulama’ mengatakan bahawa sekiranya kebanyakan para malaikat mengikut perintah Allah dengan bersujud kepada Adam a.s, mereka berhujah dengan dua keadaan : Pertama : Lafaz malaikat merupakan gambaran bilangan banyak, yang memberi erti umum lebih-lebih lagi diturunkan lafaz ini merangkumi kesempurnaan dalam mentaukidkan firman Allah yang bermaksud : “maka bersujudlah para malaikat itu kesemuanya.” Allah mengecualikan Iblis daripada kalangan mereka dan pengecualian itu khusus kepada satu golongan dari mereka yang menunjukkan keingkaran mereka. Disebut mereka yang melakukan perintah Allah ini dengan bersujud kepada Adam a.s adalah golongan malaikat di bumi dan mereka mengagungkan Allah, ada jua di kalangan mereka yang takbur dalam melakukan perintah Allah. Para hukama’ menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan malaikat itu ialah mereka yang patuh dengan perintah Allah dengan bersujud kepada Adam a.s.

Ibn Abbas berkata bahawa Iblis adalah termasuk salah satu suku dari suku malaikat, yang disebut al-jin. Mereka telah dijadikan dari api samum, bernama al-Harits, bahkan termasuk penjaga syurga, sedang malaikat yang lainnya diciptakan daripada nur iaitu cahaya, selain dari golongan ini.

Di dalam al-Qur’an disebut bahawa jin dijadikan daripada ma’arij min nar dari hujung salutan api jika dinyalakan, manakala manusia dijadikan dari tanah liat. Golongan pertama yang tinggal di bumi ialah di kalangan jin, lalu mereka melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, membunuh antara satu sama lain. Lalu, Allah mengutus kepada mereka Iblis dengan tentera malaikat yang membunuh mereka dan menghalau sebahagian mereka ke pulau di tengah lautan dan gunung-ganang. Sesudah itu, Iblis mulai merasa sombong dan berkata : “Aku telah berbuat sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang sebelum ini.” Allah mengetahui apa yang terkandung di dalam hati Iblis yang tidak diketahui oleh malaikat, kerana itu malaikat bertanya, apakah khalifah yang akan dijadikan kelak akan merosakkan dan menumpahkan darah? Maka jawab Allah, “Aku lebih mengetahui apa yang terkandung di dalam hati Iblis dari kesombongannya.”

Kemudian Allah menyuruh malaikat mengambil dari tanah yang akan dijadikan Adam a.s, sesudah dibentuk dibiarkan selama 40 hari, berupa tanah liat yang kering, berlubang, sehingga apabila Iblis berjalan, menendangnya lalu bersuara ialah yang disebut “min shal shalin kal fakh-khar..” (dari benda yang bersuara bagaikan tembikar). Berlubang sehingga Iblis daoat masuk dari lubang mulut dan keluar dari dubur, lalu berkata Iblis, “Jika aku berkuasa atasmu, aku binasakan kamu, dan apabila kamu berkuasa atasku, aku akan menentang maksiat kepadamu.”

Maka ketika telah ditiupkan oleh Allah ruh yang dimulai dari ubun-ubun kepalanya, maka setiap anggota badan yang telah dimasuki ruh langsung berubah menjadi daging, maka ketika telah sampai di pusatnya ia dapat melihat badannya dan kagum di atas keindahannya, sehingga segera akan berdiri tetapi tidak dapat.

Diriwayatkan bahawa ayat “إلا إبليس “ merujuk kepada Iblis yang bernama ‘Azazil dengan Siryaniyyah dan dengan Arabiyah al-Harith. Menurut Hasan Iblis adalah dari golongan jin dan bukan dari golongan malaikat. Ia adalah dari golongan yang sangat rajin beribadah dan luas ilmunya, kerana itulah ia merasa sombong.

Firman Allah yang bermaksud : “Dijadikan manusia itu terburu-buru. Mudah jemu dan tidak sabar, baik dalam menghadapi suka mahupun duka. Maka, setelah selesai, ruh dalam jasadnya, lalu bersin, lalu berkata : “Alhamdulillah rabbil ‘alamin,” disambut Allah : “YarhamukaLlah ya Adam” Kemudian Allah menyuruh malaikat yang bersama kepada Iblis itu agar bersujud kepada Adam, maka bersujudlah semua malaikat, kecuali Iblis yang sombong dan menolak perintah, ketika ia menolak langsung Allah memutuskannya dari rahmatNya iaitu bernama Iblis, yakni putus dari rahmat Allah. Iblis menolak dengan alas an, “Ana khairun minhu” Aku lebih baik daripadanya.

Ibn Abbas, Ibn Mas’ud dan beberapa sahabat berkata : “Ketika Allah telah selesai menjadikan apa yang dikehendakiNya, maka mengangkat Iblis menguasai malaikat langit dunia, sedang ia termasuk golongan jin dan bertugas menjaga syurga, maka kerana mendapat kedudukan itu ia merasa sangat bangga dan sombong seraya berkata : “Allah tidak mengangkatku di atas yang lain-lain malaikat, kecuali kerana kelebihanku dan timbullah rasa sombong.”

Firman Allah “ أبى “ bermakna menegah daripada melakukan apa yang telah diperintahkan Allah kepadanya. Disebut di dalam hadith sohih diriwayatkan dari Abu Hurairah dari Nabi s.a.w katanya : “Apabila anak Adam membaca surah al-Sajadah, maka bersujudlah, akan tetapi, Syaitan mengengkainya…..”

Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat yang bermaksud “dan mereka takbur” sebagai membesarkan diri, sebagaimana mereka tidak mahu dan enggan untuk bersujud di hadapan Adam a.s. walaupun telah diperintahkan oleh Allah s.w.t Dijelaskan berkenaan sombong dan takbur ini di dalam hadith nabi s.a.w yang bermaksud : “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat perasaan sombong walau sekecil biji sawi.”

Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya menyebut bahawa ulama berselisih pendapat tentang Iblis, adakah ia kafir atau sebaliknya. Dikatakan bahawa ia tidak kafir, pada mulanya. Dikatakan jua, sebelum ini tergolong dalam golongan yang kufur dan mereka ialah golongan jin, dan yang menetap di bumi. Tidak banyak perbezaan pentafsiran yang dikarang oleh Imam Al-Qurtubi dan Ibn Kathier dalam membahaskan ayat 34 surah al-Baqarah ini. Penulis hanya membawakan item-item yang berbeza berbanding kitab-kitab tafsir yang lain.

No comments: