5/24/07

Safiyah Binti Huyay

Safiyah Binti Huyay
Bunga Islam yang berhati lembut..


Keikhlasan dan keluhuran hati lembut wanita mengatasi segala dugaan dan ujian yang dihadapinya. Begitulah keikhlasan hati salah seorang isteri baginda Rasulullah s.a.w. yang sangat disenangi dan disayangi baginda Nabi Muhammad s.a.w.. Wanita itu tidak seperti isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang lain kerana beliau bukan berketurunan Arab Quraisy. Beliau adalah seorang gadis berketurunan dari satu kaum yang sentiasa menjadi musuh di awal kebangkitan Islam. Bahkan bapanya merupakan ketua kepada golongan tersebut yang sentiasa berniat untuk menentang Nabi Muhammad s.a.w..

Gadis yang dimaksudkan itu ialah Safiyah binti Huyay. Kita jarang sekali mendengar kisah disebalik nama Safiyah berbanding dengan kisah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain. Beliau juga mempunyai keistimewaan tersendiri yang menyebabkan Allah S.W.T. telah memuliakannya dengan mentaqdirkan Safiyah menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin. Safiyah bukanlah nama sebenar beliau. Gelaran Safiyah bermaksud harta rampasan perang yang terbaik untuk ketua kaum Arab. Beliau juga telah dikahwinkan dengan Rasulullah s.a.w. kerana itulah beliau digelar Safiyah.

Safiyah telah dilahirkan dalam keluarga ketua bangsa Yahudi. Ayahnya Huyay b. Akhtab merupakan seorang pemimpin Yahudi Bani Nadhir yang berkuasa di kawasan bernama Khaibar yang terletak di sebelah barat laut Kota Madinah. Wanita yang melahirkannya pula bernama Darrah binti Samail. Beliau merupakan puteri kepada ketua Bani Quraizah.

Safiyah dibesarkan dalam keluarga kaya yang sangat berpengaruh di kalangan masyarakatnya. Kerana itu beliau memperolehi pendidikan yang sempurna daripada keluarganya.

Ketika Safiyah meningkat remaja, beliau adalah gadis yang sungguh cantik dan menawan. Beliau memiliki kulit yang putih kemerahan, bersih dan berseri. Bukan setakat paras rupa yang cantik sahaja, malah beliau juga mempunyai akhlak yang baik dan budi bahasa yang tinggi.

Umpama bunga yang sedang mekar di taman, begitulah Safiyah yang semakin dewasa, kecantikannya telah menarik perhatian ramai pemuda yang hebat untuk memetik bunga di taman dan menyuntingnya sebagai permaisuri di hati. Ramai pemuda datang bertemu orang tua beliau untuk tujuan peminangan. Jadi ayahnya perlu berhati-hati memilih siapakah yang layak menjadi menantunya.

Akhirnya, pilihan hatinya jatuh kepada Sallam Ibn. Misham. Sallam adalah salah seorang penghulu kaum Yahudi. Walaupun majlis perkahwinan Safiyah dan Sallam diadakan dengan meriah, namun jodoh mereka tidak bertahan lama. Setelah perkahwinan itu terhenti di tengah jalan, Safiyah kembali tinggal bersama keluarga beliau.

Safiyah masih tetap cantik walaupun sudah menjadi janda. Jadi ramailah lelaki berhasrat untuk memperisterikan beliau. Di kalangan ramai lelaki yang meminangnya, Safiyah membuat keputusan untuk menerima lamaran ketua kabilah berketurunan sebelah ibu beliau iaitu Kinanah Ibn Rabi’. Bahtera perkahwinan Safiyah kali kedua ini meneruskan pelayaran di lautan kehidupan yang mengekalkannya menjadi wanita mulia kaum Yahudi.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah melakukan pembersihan di Kota Madinah. Oleh itu. Baginda telah meluaskan dakwahnya ke Khaibar. Di situlah kaum Yahudi masih enggan menerima cahaya Islam. Kaum Yahudi di Khaibar yang diketuai oleh Huyay menolak dakwah baginda Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, kaum Muslimin terpaksa bertindak tegas dalam menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Maka berlakulah pertempuran yang dahsyat antara kaum Yahudi dan tentera Muslimin di Khaibar.

Dalam peperangan itulah suami, bapa, saudara lelaki dan seluruh keluarga Safiyah terbunuh. Beliau telah ditawan oleh tentera Muslimin. Kekalahan yang dialami oleh puak Yahudi berlaku dengan teruk sekali. Kaum Yahudi telah kehilangan para pemimpin mereka yang juga merupakan ahli keluarga Safiyah. Oleh yang demikian itu, di kalangan tawanan perang, keadaan Safiyah lah yang paling menyedihkan.

Selepas peperangan Khaibar, kaum Muslimin membawa Safiyah dan sepupunya kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Safiyah kelihatan diam dan ketakutan. Manakala sepupunya menjerit, menangis dan menyapu debu di kepalanya kerana terlalu sebak melihat ahli keluarga yang terkorban. Sungguhpun begitu, mereka berdua dilayan dengan baik oleh tentera Muslimin.

Apabila Safiyah bertemu dengan Rasulullah s.a.w., baginda telah mengambil jubahnya dan meletakkan di bahu beliau. Apa yang dilakukan oleh baginda adalah sebagai menyatakan tanda kasihan kepada Safiyah. Walaupun begitu, jauh di lubuk hati Safiyah sebenarnya merasakan beliau telah dimuliakan dan diberi penghormatan yang tinggi dalam masyarakat Muslim ketika itu.

Sejurus selepas peperangan, salah seorang tentera Islam bernama Dehiah Kalbi telah meminta kepada Rasulullah s.a.w. seorang tawanan wanita. Lalu baginda membenarkannya memilih salah seorang daripada mereka. Lalu Dehiah membuat keputusan untuk memilih Safiyah. Seorang tentera Islam telah memberitahu Rasulullah s.a.w. bahawa Safiyah yang menjadi pilihan Dehiah merupakan wanita dari ketua Bani Nadhir dan Bani Quraizah yang sepatutnya menjadi hak Rasulullah s.a.w.. Safiyah tidak sepatutnya dilayan seperti wanita biasa kerana beliau seorang wanita terhormat dari kaum Yahudi. Akhirnya baginda telah menggantikan wanita lain kepada Dehiah sebagai hambanya.

Oleh kerana Safiyah sudah menjadi sebatang kara tanpa saudara mara, Nabi Muhammad s.a.w. merasa kasihan terhadap Safiyah yang tidak mempunyai hubungan dalam permusuhan dan terpaksa menanggung akibatnya. Dengan keadaan itu, baginda tidak akan meninggalkan Safiyah selepas bapa, suami dan saudara beliau dibunuh oleh orang yang berlainan agama.

Safiyah telah diajak memeluk Islam oleh Rasulullah s.a.w.. Kemudian baginda melamar beliau dan Safiyah menerimanya dengan gembira. Beliau begitu gembira kerana telah menjadi sebahagian ahli keluarga Nabi Muhammad s.a.w. dengan gelaran ‘Ummul Mukminin’.

Semasa dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah s.a.w. singgah di Sabha’ kira-kira lapan batu dari Khaibar. Di tempat persinggahan itulah baginda mengahwini Safiyah. Safiyah telah diandam dan dihias sebagai pengantin oleh Ummu Sulaim iaitu ibu kepada Anas bin Malik.

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dan Safiyah bermalam di sana dan khemah mereka dikawal ketat sepanjang malam oleh Abu Ayyub bin Al-Ansari. Pada keesokkan harinya, Rasulullah s.a.w. mendapati Ayyub berjalan mundar-mandir di hadapan khemah baginda. Rasulullah s.a.w. bertanyakan keadaan Ayyub itu. Lalu Ayyub menjawab:
“Saya khuatir kalau-kalau Rasulullah s.a.w. menghadapi sebarang bahaya kerana wanita ini kita telah bunuh keluarganya dan dia baru sahaja meninggalkan kekafirannya. Kerana itulah saya khuatir kalau-kalau dia mencederakan Rasulullah.”
Mendengar penjelasan ikhlas Ayyub itu, lalu baginda telah mendoakan Ayyub:
“Ya Allah, peliharalah Ayyub sebagaimana dia semalaman menjagaku.”

Rombongan Rasulullah s.a.w. dan tentera Muslimin meneruskan perjalanan dari Sabha’ ke Madinah. Ketika hendak memulakan perjalanan, Nabi Muhammad s.a.w. menaikkan Safiyah ke unta baginda dan menyelubungi beliau dengan jubah baginda sendiri menandakan Safiyah telah menjadi isteri baginda. Safiyah sungguh gembira sehinggakan lupa terhadap tragedi yang telah menimpa diri dan keluarga beliau.

Sejurus Safiyah sampai di Madinah, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ikhlas bernama Haris bin Nu’man telah memberi penghormatan dengan menumpangkan wanita yang terhormat itu di rumahnya. Haris merupakan sahabat Nabi s.a.w. yang sangat baik dan sentiasa membelanjakan wangnya demi Rasulullah s.a.w..

Safiyah tekenal dengan kecantikannya. Beliau bertubuh rendah tetapi sangat cantik. Oleh kerana itu, ramai wanita Ansar berkumpul dalam rumah itu untuk melihat Safiyah. Wanita-wanita itu termasuklah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain turut melihatnya.

Ketika Aisyah pulang dari melihat Safiyah, Rasulullah mendapatkan beliau:
“Bagaimanakah pendapatmu tentang Safiyah?” Tanya Rasulullah s.a.w.
“Dia wanita Yahudi.” Jawab Aisyah.
“Janganlah berkata begitu, Safiyah telah pun memeluk Islam dan Islamnya adalah lebih baik.” Jelas baginda kepada Aisyah.

Seperti yang dijangka, ketibaan Safiyah di Madinah tidak diterima baik oleh isteri-isteri baginda yang lain. Ini kerana ramai di kalangan mereka yang cemburu melihat kecantikan Safiyah. Mereka selalu mengejek Safiyah yang berketurunan Yahudi. Walaupun begitu, Safiyah tetap bahagia kerana dilayan baik daripada Rasulullah s.a.w..

Tidak dinafikan kadang-kadang Safiyah terlalu sedih dengan keadaan isteri-isteri baginda. Sehinggakan pada suatu hari Safiyah mendapatkan Nabi Muhammad s.a.w. sambil menangis kesedihan. Lalu baginda memujuk Safiyah dengan berkata:
“Katakanlah kepada mereka bahawa bapamu ialah Harun manakala Musa adalah bapa saudaramu dan suamimu Nabi Allah.”

Baginda terus memujuk Safiyah dengan mengatakan bahawa baginda mengahwini Safiyah adalah kerana perintah Allah S.W.T.. Kata-kata Rasulullah s.a.w. itu menjadi pengubat hati beliau yang tercalar dengan ejekan isteri-isteri baginda yang lain. Bahkan kata-kata Rasulullah s.a.w. itu menambahkan kekuatan bagi diri Safiyah untuk menghadapi segala ujian.

Pernah pada suatu hari, semasa Safiyah mengikut Rasulullah s.a.w. berjalan-jalan bersama isteri-isteri baginda yang lain. Sedang dalam perjalanan, unta Safiyah jatuh sakit. Ketika itu Zainab membawa unta lain. Lalu baginda meminta Zainab memberikan seekor unta beliau kepada Safiyah. Zainab berkata:
“Haruskah saya memberikannya kepada wanita Yahudi itu?”
Rasulullah s.a.w. begitu marah dengan kata-kata Zainab itu. Baginda mengambil keputusan tidak mahu menziarahi Zainab selama tiga bulan.

Hati lembut Safiyah begitu ketara. Safiyah sangat sensitif dengan keadaan sekelilingnya. Bahkan keperibadian Safiyah yang mudah berpuas hati dan pemurah. Beliau sangat rapat dengan puteri kesayangan Rasulullah s.a.w., Fatimah. Safiyah telah memberikan subang emas kepada Fatimah dan isteri-isteri baginda yang lain selepas beliau berkahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w..

Safiyah seorang yang tenang, lemah lembut, penyabar dan bersopan santun. Beliau juga seorang yang tabah. Selepas kemenangan Muslimin dalam peperangan Khaibar, Bilal telah membawa Safiyah dan sepupunya melalui kawasan di mana mayat-mayat orang-orang Yahudi bergelimpangan termasuklah mayat kaum kerabat dan suami yang dicintai. Sepupunya itu tidak dapat menahan sebak melihat keadaan itu. Dia menangis sekuat hatinya. Tetapi Safiyah tampak tenang dan tidak menunjukkan tanda sedih dan tertekan.

Beliau amat menyayangi Rasulullah s.a.w.. Safiyah suka memasak makanan yang sedap dan menghantarkannya kepada Rasulullah s.a.w.. Beliau begitu mencintai Rasulullah s.a.w. sepenuh hatinya. Ketika Rasulullah s.a.w. jatuh sakit, Safiyah tidak dapat menahan sebak melihat kesakitan yang sedang dialami oleh suami yang mulia itu lalu menangis dan berkata:
“Wahai Rasulullah s.a.w., kalaulah aku dapat menanggung semua penderitaanmu itu sendiri supaya engkau merasa ringan dengan kesakitanmu.”

Isteri-isteri baginda yang lain terkejut mendengar kata-kata Safiyah itu. Tetapi baginda mengatakan:
“Demi Allah, sesungguhnya Safiyah adalah benar.”

Keikhlasannya terhadap Nabi s.a.w. tidak dapat dipertikaikan. Beliau bukan sahaja menyayangi Rasulullah s.a.w., bahkan sangat menghormati baginda sebagai pesuruh Allah. Beliau pernah mendengar perbualan ayah dan bapa saudara beliau tentang Rasulullah s.a.w. setelah pergi ke Madinah untuk melihat baginda untuk memastikan sama ada baginda benar-benar Rasul Allah seperti yang diperkatakan dalam kitab suci mereka. Tanpa mereka menyedari, Safiyah telah mendengar perbualan itu. Salah seorang mereka berkata:
“Apakah pandangan engkau tentangnya?”
“Beliau adalah Nabi yang diperkatakan dalam kitab kita.” Jawab seorang lagi.

Sejak peristiwa itulah Safiyah benar-benar yakin tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasulullah. Bahkan mimpi yang pernah dialaminya ketika Safiyah masih berada di samping suaminya Kinanah lagi. Beliau pernah bermimpi melihat bulan dari Yathrib jatuh ke pangkuannya. Apabila Safiyah menceritakan mimpi yang dialaminya itu kepada Kinanah, lalu Kinanah berkata:
“Engkau ingin berkahwin dengan raja yang datang dari Madinah itu?”
Kemudian Kinanah menampar muka Safiyah dan tamparan itu meninggalkan bekas kebiru-biruan pada mata beliau.

Safiyah amat tertarik dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi s.a.w.. Beliau mencintai konsep kemanusiaan Islam dengan sempurna. Safiyah sentiasa mematuhi semua ajaran agama dan menghormati hukum-hukum Islam dengan ikhlas. Beliau menjadi seorang Yahudi yang beriman kepada Allah S.W.T. dan berbangga kerana memeluk agama Islam yang suci dan benar.

Ketika zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, salah seorang pelayan Safiyah telah mengadu kepada Saidina Umar dengan mengatakan Safiyah masih lagi menyukai hari Sabtu dan menyayangi Yahudi. Lalu Umar pergi menemui Safiyah dan bertanyakan hal itu. Dengan wajah yang tenang, Safiyah menerangkan situasi tersebut:
“Wahai Umar, Allah telah memberi hari Jumaat sebagai ganti hari Sabtu dan saya lebih memuliakan hari Jumaat. Dan tentang Yahudi, memang benar saya menghubungkan silaturrahim dengan mereka kerana saya mempunyai hubungan keluarga dengan mereka.”
Akhirnya Saidina Umar berpuas hati dengan jawapan Safiyah yang jujur itu.

Tidak lama kemudian, setelah pelayan beliau kembali, Safiyah mendekatinya dan bertanya apakah yang mendorong dia membuat aduan palsu tentang diri beliau. Pelayan itu menjawab:
“Saya telah didorong oleh Syaitan.” Jelas si pelayan itu.
Dengan kebijaksanaan, Safiyah telah memerdekakan pelayan tersebut.

Dalam tahun 35 Hijrah, ketika khalifah Uthman dikepung oleh para pemberontak di dalam rumah beliau, Safiyah telah membantu dengan membawa beg makanan dan air kepada Saidina Uthman. Dalam perjalanan, ketua pemberontak, Ushtar telah menghalang beliau. Safiyah terpaksa kembali ke rumah dan mewakilkan Hassan, cucu Rasulullah s.a.w. untuk membawa barang-barang itu kepada Saidina Uthman. Tindakan Safiyah ini dipuji kerana kepandaian dan kecerdikannya membantu Saidina Uthman.

Seperti Ummul Mukminin yang lain, Safiyah juga adalah gudang ilmu. Mereka yang mencari ilmu biasa berkumpul di rumah beliau untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Setelah pulang dari menunaikan haji, rumah Safiyah dikunjungi ramai wanita dari jauh seperti Kufah dan bertanya pelbagai soalan kepada beliau. Walau bagaimanapun Safiyah menjawab dengan tepat dan berkesan setiap persoalan yang diutarakan kepada beliau.

Terdapat juga sejumlah hadith yang diriwayatkan daripada Safiyah. Terdapat juga imam-imam yang terkenal mengambil hadith daripada beliau. Antaranya ialah Muslim bin Safuan, Yazid bin Makhtab, Ishaq bin Abdullah dan ramai lagi. Abdul Birr pernah berkata:
“Safiyah adalah seorang wanita yang bijaksana, berpengetahuan dan lemah lembut.”

Safiyah telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 50 Hijrah ketika usianya mencecah 60 tahun. Beliau dikebumikan di Jannatul Baqi’. Sebelum beliau pergi, Safiyah telah mewasiatkan 1/3 daripada harta pusaka yang bernilai 100,000 dirham untuk anak lelaki adik perempuannya yang masih Yahudi. Sikapnya yang prihatin ini menunjukkan bahawa beliau sangat mengambil perhatian terhadap hubungan kekeluargaannya.

Begitulah perginya Safiyah yang memiliki banyak sifat terpuji. Beliau sangat pintar, berpelajaran dan lemah lembut. Sifat semula jadi yang penyabar dan lemah lembut menjadikan diri beliau berperibadi Muslim yang unggul.

Rujukan :

1. Afzalur Rahman. Ensiklopedia Sirah. Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Akmal Mohd. Zin, Mohd. Safwan Amrullah. Ummahatul Mukminin Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Penerbit: al-Hidayah
3. S.M. Madni Abbasi, terj. Siti Sujinah Sarnap. Keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Penerbit: Jahabersa
4. Taha al-Ismail. Terj. Siti Sujinah Sarnap. Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Penerbit: Jahabersa
5. Muhammad Syafique. Rasulullah s.a.w. sebagai Hamba Allah, Pemimpin, Pendakwah, Sahabat, Bapa dan Suami.. . Penerbit: al-Hidayah.

2 comments:

Maryam Cottrell-Dormer said...

Jazak Allah Kahir sister, I just named my newborn daughter Safiyah. May the future generation continue to study Seerah and develop genuine love for Rasulullah (SAW). Amien.

Maryam Cottrell-Dormer said...

Jazak Allah Kahir sister, I just named my newborn daughter Safiyah. May the future generation continue to study Seerah and develop genuine love for Rasulullah (SAW). Amien.