5/24/07

Memori di Uniperdana….(Bahg.1)

Memori di Uniperdana….
Titisan hujan masih lagi berada di hujung daun. Angin sejuk masih lagi meniup sepoi bahasa. Malam itu bulan tidak menunjukkan wajahnya. Langit malam tetap gelap tidak seperti malam-malam yang lalu. Tapi Sofia tahu langit yang mendung tidak semestinya hujan. Pada sangkaan dhaif manusia, langit yang mendung pasti hujan menyusul datang. Namun kuasa Tuhan yang lebih mengetahui dan mampu merubah kemungkinan yang tiba.
Apa sahaja yang berlaku hari ini, semalam atau esok dan selagi nafas masih ada, Sofea akan tetap meneruskan kehidupannya yang bakal ditempuhi. Selepas menunaikan solat Isya’, Sofea terus menuju ke meja belajarnya untuk menyiapkan tugasan persatuan yang tidak pernah berhenti mencuri masa lapangnya. Hak yang perlu ditunaikan dan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Sofia akan selalu berpegang kepada kata-kata Ustaznya, “Hak adalah untuk diberikan, bukan untuk dituntut.” Sofia masih ingat lagi pengisian yang diberikan Ustaz kepada semua ahli usrah dalam satu perjumpaan bulanan persatuan mahasiswa Islam di kampus uniperdana bahawa pimpinan perlu mengetahui hak-hak orang yang dipimpin. Begitu juga dengan orang yang dipimpin perlu mengetahui hak-hak pemimpin supaya hak-hak itu dapat dilaksanakan dan dipenuhi. Bukan saling menuntutnya.
Tangannya cepat mencapai pena yang berada di atas meja. Mata dan tangannya pantas mencari buku catatan yang menjadi teman rapat di mana saja Sofia berada. Terutama sekali ketika Sofia keluar untuk menghadiri meting dengan rakan satu lajnah, Haikal. Pena dan buku catatan itu sudah semestinya sentiasa tersisip rapi dan tersimpan kemas di dalam beg tangannya.
Helaian kertas dibuka perlahan-lahan. Mata Sofia yang bulat itu memandang tepat satu persatu helaian untuk mencari maklumat dan catatannya siang tadi. Banyak juga tugas yang diserahkan kepadanya. Haikal bukan seorang yang suka melepaskan kerjanya kepada orang lain. Sebenarnya Haikal juga sangat sibuk dan mempunyai tugasan lain selain tugas dan kerja yang telah dibahagikan antara kedua-dua rakan seperjuangan itu.
Final exam yang baru sahaja selesai minggu lepas dan bermulanya cuti semester tidak menjanjikan suatu kenangan yang indah buat Sofia bersama keluarga. Tanggungjawab dan amanah yang harus ditunaikan terlalu banyak yang menunggunya. Sofia sedar semester hadapan adalah semester terakhir dia berada di Uniperdana. Kertas Projek yang perlu diberi tumpuan dan perhatian sekaligus kerja-kerja persatuan yang masih belum selesai dan bertimbun. “Perjuangan yang belum selesai,” seperti kata mantan PM Malaysia.
Kepala Sofea semakin serabut. Cuti semester harus dihabiskan di kota metropolitan yang memakan belanja yang banyak. Duit pinjaman hanya tinggal beberapa puluh sahaja di dalam bank. Oleh sebab Sofea mempunyai kerja sambilan sebagai guru tuisyen di salah sebuah pusat tusyen di Petaling Jaya, pendapatan itu sedikit sebanyak membantu menampung bayaran rumah sewanya. Namun, bagaimana pula perbelanjaan harian nanti? Jika difikirkan semuanya, memang memeningkan kepala sahaja. Tetapi Sofea sudah biasa dengan konflik seperti itu. Yang penting bagi dirinya, berusaha dan serahkan apa yang dilakukan kepada Allah SWT. Bagi Sofea, segala urusan di dunia adalah perlu pergantungan kepada Allah SWT. Allah kan ada, bisik jiwa kecil Sofea.
Selepas selesai menyiapkan proposal jawatankuasa yang baru ditubuhkan, Sofea terus merancang aktiviti sepanjang cuti panjangnya itu. Proposalnya itu akan dibentangkan dalam meeting esok malam. Perasaan gementar Sofea tiba-tiba meresap ke segenap urat sarafnya. Bukan kerana darahnya yang terlalu gemuruh tetapi kerana pasti pelbagai soalan akan ditanya bertubi-tubi kepadanya. Terutama sekali presidennya, Hanif yang sangat teliti apabila sesuatu proposal dibentangkan kepadanya. Sofea cepat-cepat menarik nafas dan menumpukan tugasnya yang lain agar perasaan gementar itu dapat dikawal dengan baik. Tangannya terus mencapai majalah I yang banyak memberi ilmu dan pandangan baru mengikut arus dan gelombang semasa. Bahkan majalah itu akan terus menjawab isu yang cuba ditimbulkan oleh majalah berunsur Islam lain yang cuba merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam di Malaysia. Dalam dunia hari ini terlalu banyak bahan yang cuba menyimpangkan manusia dari menjadi insan dan hamba Tuhan yang sebenar. Iman dan akhlak yang baik mampu menempias semua percikan-percikan dusta golongan munafik dan kafir yang sentiasa mengimpikan kemusnahan Islam. Tanpa disedari, malam semakin pekat. Masa yang berlalu pantas memaksa Sofea untuk merehatkan tubuh. Selepas merebahkan kepala ke bantal, mata Sofea mula layu dan kuyu. Perlahan-lahan matanya tertutup rapat.

Bersambung...

No comments: